“Jangan bimbang cukai jalan, lesen digital bukan diwajibkan” – Anthony Loke
PELBAGAI persoalan timbul susulan pengumuman Kementerian Pengangkutan (MOT), semalam bahawa pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di kenderaan masing-masing.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata beliau menyedari ramai yang ada pelbagai persoalan mengenainya dan beliau akan memberikan pencerahan kepada soalan-soalan yang sering ditanya.
Beliau berkata antara persoalannya adalah mengenai sama ada pemilik kenderaan persendirian wajib memuat turun aplikasi MyJPJ.
“Tidak. Ia adalah salah satu pilihan sahaja untuk mendapat salinan digital untuk cukai jalan dan lesen memandu.
“Pemilik juga tidak akan disaman jika tidak dapat muat turun MyJPJ sekarang dan tidak dapat tunjuk cukai jalan digital kerana pihak penguatkuasa boleh mengesahkan status cukai jalan dan lesen melalui sistem dalam gajet penguatkuasaan,” katanya.
Beliau memberi pencerahan itu dalam satu hantaran di laman Facebooknya malam tadi.
Perkara lain yang dijelaskan adalah pemilik kenderaan masih perlu membayar cukai jalan dan lesen memandu selepas tamat tempoh, dan hanya pelekat sahaja tidak perlu ditampal.
“Warga emas yang tak ada telefon pintar dan tiada liputan internet, juga tidak perlu bimbang, kerana format digital yang diperkenalkan bukanlah diwajibkan. Masih boleh dapatkan pelekat cukai jalan dan lesen fizikal sekiranya perlu.
“Bagi kenderaan yang dipandu individu lain, cukai jalan digital boleh dicetak dan disimpan dalam kereta. Namun, kalau tak dapat tunjuk bukti pun, bukan satu kesalahan…pihak penguatkuasa akan semak butiran dalam gajet mereka,” katanya.
Anthony berkata, selain itu timbul juga aduan terdapat pemilik kenderaan yang tidak dapat log masuk MyJPJ dan jelasnya keadaan itu berlaku susulan trafik yang tinggi kerana ramai yang ingin mendaftar aplikasi berkenaan ketika ini.
“Saya tahu ada banyak lagi persoalan oleh orang ramai. Kita akan cuba memberi penerangan yang sejelas-jelasnya. Saya sedar dalam apa sahaja proses perubahan, ia akan mengambil masa untuk disesuaikan.
“Ada pihak yang tidak akan setuju dengan perubahan tersebut. Saya menghormati semua pandangan dan cuba menguruskan perubahan sebaik mungkin.
“Saya bersama pasukan saya di MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan cuba memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul dalam proses perubahan ini. Sama-sama kita menuju ke arah yang lebih baik,” katanya. – Malaysiapost