Kemalangan van persiaran di Genting Highlands: Seorang lagi disahkan meninggal dunia

Kemalangan van persiaran di Genting Highlands: Seorang lagi disahkan meninggal dunia

NAHAS membabitkan sebuah van persiaran yang terbabas di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands – Kuala Lumpur, Rabu lalu, mengorbankan seorang lagi mangsa semalam menjadikan keseluruhan lapan mangsa maut dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa kelapan yang disahkan meninggal dunia pada jam 1.46 tengah hari semalam ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah, Chew Chong Beh, 73.

“Polis mengesahkan seramai lapan mangsa meninggal dunia, manakala enam lagi mangsa dilaporkan cedera sehingga jam 6 petang hari ini (semalam).

“Manakala enam mangsa yang cedera, iaitu empat dirawat di HKL, seorang dirawat di Hospital Temerloh dan seorang lagi mangsa sudah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari 8 Februari lalu, pemandu van bersama lima penumpang meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala seorang lagi penumpang disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di HKL.

Siasatan awal polis mendapati van persiaran itu dipandu lelaki tempatan bersama 13 penumpang membabitkan seorang lelaki dan 12 wanita dalam perjalanan turun dari Genting Highlands ke Pulau Pinang.

Van berkenaan dipercayai hilang kawalan apabila melalui satu selekoh sebelum terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan.

Akibat kemalangan itu, pemandu van, Wong Choon Chiet, 49, bersama tujuh penumpang maut iaitu Foong Ah Lan, 67; Lee Moy, 67; Goh Siew Kim, 61; Ang Meng Hong, 62; Seow Mee Tin, 72; Chang Them Kong, 70, dan Chew Chong Beh, 73. – Malaysiapost

Komen