KJ akui menteri Umno diserang parti sendiri sebelum ini

KJ akui menteri Umno diserang parti sendiri sebelum ini

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin mengakui diserang parti sendiri ketika berada dalam Jemaah Menteri bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengesahkan kenyataan Ismail Sabri yang mendakwa ditekan oleh pemimpin parti sendiri seperti bukan Perdana Menteri dari Umno dan ‘dilanyak’ seolah-olah Umno pembangkang waktu itu.

“Memang betul. Kami diserang oleh parti sendiri sewaktu dalam Jemaah Menteri. Apa pun kami telah lakukan yang terbaik untuk negara.

“Keluar dari pandemik, pulihkan ekonomi. Anda boleh berbangga dengan (kejayaan) itu,” komennya di satu hantaran Instagram milik Ismail Sabri semalam.

Dalam hantaran itu, Ismail yang juga Naib Presiden Umno memuat naik video berdurasi seminit 40 saat yang meluahkan kekecewaannya serta menjelaskan mengenai tekanan yang diterima daripada partinya sendiri ketika menjadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Bera itu turut menjelaskan terdapat laporan media yang tidak tepat berhubung kenyataannya mengenai ‘Umno dilanyak’ dalam satu wawancara sebelum ini.

“Saya Perdana Menteri (dari) Umno. Untuk mengukuhkan Umno masa itu, daripada 29 menteri Kabinet, 14 daripadanya adalah menteri Barisan Nasional (BN) walaupun kita hanya ada 42 kerusi Parlimen.

“Tetapi waktu itu, saya ditekan oleh pemimpin parti sendiri seperti saya bukan Perdana Menteri dari Umno. Saya dilanyak waktu itu. Umno seolah-olah pembangkang waktu berkenaan.

“Ini yang saya maksudkan dalam wawancara saya bersama media tempoh hari,” katanya. – Malaysiapost

Komen