KKM yang dedah perolehan vaksin tak ikut peraturan – Anwar
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan perolehan vaksin Covid-19 tidak mengikut peraturan dan dibuat tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC), dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, maklumat berkenaan kemudian dibentangkan kepada Kabinet dan menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menentukan kesahihannya.
Beliau menegaskan tidak campur tangan dalam siasatan berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada wujud pelanggaran peraturan dan undang-undang dalam tatacara perolehan vaksin terbabit.
“Itu serah pada badan penyiasat, SPRM dan lain-lain. Bukan urusan saya lagi.
“Yang saya maklumkan itu hanya kenyataan yang disediakan oleh KKM, dan Kabinet mengambil perhatian.
“Kemudian badan-badan siasatan harus siasat sama ada benar atau tidak dan sebagainya,” katanya mengulas kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menafikan perolehan vaksin Covid-19 dibuat tanpa persetujuan AGC.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Terdahulu Khairy, mengatakan semua perolehan yang dibuat kerajaan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibentangkan kepada Kabinet, sekali gus dimaklumkan kepada AGC.
Anwar sebelum ini memaklumkan KKM akan membentangkan Kertas Putih berhubung perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan Peguam Negara.
Sebelum ini, Datuk Dr Marzuki Mohamad, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut menegaskan isu perolehan vaksin tidak perlu lagi dipersoalkan.
Menurutnya, ia kerana perkara berkenaan sudah disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai Pengerusi PAC daripada DAP, Wong Kah Woh dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Marzuki berkata, laporan PAC setebal 521 muka surat itu, mengesahkan perolehan vaksin Covid-19 dibuat secara teratur. – Malaysiapost