Kod berpakaian universiti bukan kolot – Bahari
TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata, Ho Chi Yang, menggesa agar kod berpakaian di universiti dilonggarkan, dilihat sebagai cubaan untuk menggambarkan bahawa kod pemakaian universiti adalah kuno.
Gesaan itu dibantah Ketua Penerangan Bersatu Kelantan Bahari Mohamad Nor, yang menegaskan sesebuah syarikat atau organisasi, termasuk institusi pendidikan memang terdapat etika dan protokol bagi melambangkan identiti institusi berkenaan.
Menurutnya, Chi Yang yang juga Pengarah Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda DAP mempersoalkan universiti yang mengenakan denda kepada pelajar yang terikut-ikut cara pemakaian pihak luar, yang mewarnakan rambut dan memakai terlalu banyak subang.
“Beliau menggambarkan kononnya universiti seakan akan kolot, mundur dan tidak menepati putaran masa yang saban hari semakin canggih dan maju.
“Ho cuba meracuni dengan doktrin bahawa kod pemakaian universiti adalah kuno dan dalam masa sama bertentangan dengan sifat semulajadi manusia mahukan suatu pembaharuan yang menepati dengan arus kemodenan yang boleh menyebabkan berlakunya krisis identiti dalam diri masyarakat sehingga boleh menyebabkan salah tanggapan cara pemakaian.
“Apakah kita boleh membiarkan pemakaian seksi dan ketat demi mengikut peredaran zaman di universiti?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, etika dan protokol melambangkan identiti seseorang yang terikat dengan institusi tersebut, malah fesyen serta keterampilan itu mencerminkan imej syarikat dan institusi yang maju dan terkehadapan dalam melaksanakan misi dan visinya.
“Begitu juga dengan pemakaian dalam universiti yang menggalakkan pelajarnya untuk menampilkan apa yang terbaik dan yang elok dalam menzahirkan imej sebagai seorang pelajar yang terdidik dari hasil keluaran universitinya.
“Apatah lagi bersesuaian dengan universiti adalah tempat awam pelbagai bangsa yang pelbagai agama yang harus menghormati antara warganya,” katanya.
Beliau berkata, kod etika berpakaian adalah untuk menjaga keamanan dan kehormatan diri daripada berlaku fitnah ke atas diri dan universiti, selain pakaian adalah salah satu proses menjaga diri daripada bencana, bahaya dan sakit.
Menurutnya, kod etika berpakaian juga membawa imej yang baik dan elok dalam menampakkan jati diri seorang pelajar dan universiti.
“Kreativiti dalam pemakaian di universiti lazimnya terserah kepada pelajar perlu memakai kain buatan apa, jenis apa, berapa helai, warna apa dan sebagainya mengikut kesesuaian tempat dan masa selagi tidak melanggar batasan,” katanya.
Terdahulu Chi Yang dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti melonggarkan kod berpakaian dan menghormati kreativiti dan kebebasan pelajar untuk berpakaian.
Menurutnya, universiti harus menumpukan usaha meningkatkan kualiti pendidikan serta memupuk bakat dan bukannya mengenakan kod pakaian yang ketat yang dilihat sebagai undang-undang tidak penting di universiti.
Katanya, universiti sepatutnya komited melahirkan pelajar yang berani mempersoal, mengkritik dan berinovasi. – Malaysiapost