Lelaki amuk guna pisau potong daging ditangkap
POLIS mengesahkan berlaku kejadian seorang lelaki mengamuk dengan memegang pisau pemotong daging di kawasan Paloh, Kluang, Johor seperti yang tular di media sosial melalui satu video, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 1.40 tengah hari semalam.
“Polis dari Bahagian Siasatab Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bersama anggota Balai Polis Paloh yang tiba dilokasi kejadian mendapati seorang lelaki tempatan sedang mengamuk dengan memegang sebilah pisau pemotong daging.
“Proses rundingan telah dijalankan terhadap lelaki terbabit yang kemudian berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit adalah pemegang kad pesakit mental dan tiada sebarang jenayah lain berlaku dalam kejadian itu.
“Polis juga tidak menerima sebarang laporan polis daripada mana-mana individu terhadap lelaki berkenaan. Tiada siasatan dijalankan ke atas lelaki terbabit.
“Lelaki terbabit bagaimanapun dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, IPD Kluang turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang berada di lokasi kejadian yang memaklumkan polis mengenai kejadian itu.
Terdahulu tular video berdurasi seminit 36 saat memaparkan seorang lelaki yang memegang pisau pemotong daging cuba ditenangkan oleh beberapa anggota polis. – Malaysiapost