Mahasiswa bebas kritik pemimpin, kerajaan – Anwar

Mahasiswa bebas kritik pemimpin, kerajaan – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan mahasiswa di universiti diberi kebebasan untuk menegur serta mengkritik kepimpinannya dan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kebebasan bersuara itu dibenarkan selagi ia tidak melampaui batas termasuk dalam hal berkaitan perkauman serta fahaman agama khususnya dalam kampus masing-masing.

Menurutnya, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

“Mereka sudah buka ruang supaya universiti lebih segar memberikan pandangan melainkan hal-hal mencerca ataupun, perkauman, fahaman agama yang melampau.

“Selain itu, dibebaskan termasuk teguran atau kritikan terhadap PM (Perdana Menteri) atau kerajaan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Mock Cek berjumlah RM1.29 juta untuk Tabung Pelajar Antarabangsa Abu Sulayman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar mahu Kementerian Pengajian Tinggi meninggalkan amalan lama yang telah lapuk dan menggalakkan pelajar untuk berfikiran lebih kritikal dan kreatif.

“Kritikan itu bagaimanapun mestilah disertai dengan fakta dan kefahaman serta tidak menghina mana-mana pihak,” katanya.

Anwar berkata, pastinya akan ada pihak yang menyalahgunakan kebebasan ini namun beliau sudah meletakkan syarat setiap teguran harus mempunyai merit dan berilmu.

Jelasnya, antara kegagalan masa kini adalah gagal mendidik dan membina ummah yang memimpin, sebaliknya kebanyakan masyarakat hanyalah mengikut dan tidak bersuara.

“Kekurangan minda kritikal, kefahaman hanya akan memberi kita ramai pengikut yang gagal menimbang situasi dan kurang berdaya kreatif,” katanya. – Malaysiapost

Komen