Muhyiddin minta SPRM segera cairkan akaun Bersatu

Muhyiddin minta SPRM segera cairkan akaun Bersatu

PARTI Bersatu memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membatalkan pembekuan akaun parti itu, memandangkan sudah sebulan permohonan pembatalan dibuat.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya memberi tempoh 14 hari untuk mencairkan semula akaun itu dan sekiranya gagal akan berbincang dengan peguam bagi tindakan selanjutnya.

“Surat pembatalan pembekuan dana yang dihantar kepada SPRM itu bakal tamat dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Kami yakin SPRM yang diwujudkan sebagai sebuah badan profesional dan bebas tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak termasuk pemerintah,” katanya memetik Harian Metro.

Beliau berkata demikan kepada media di Majlis Kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr Radzi Jidin, bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan masih berjalan dan pembekuan akaun belum dibatalkan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah simpanan dalam akaun yang dibekukan SPRM kerana pegawai penyiasat masih dalam proses melaksanakan tugas dan siasatan juga masih berjalan.

Muhyiddin berkata, sekiranya dana ini dapat dicairkan pihaknya boleh bergerak dan membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Katanya, pembekuan akaun ini sudah lebih sebulan dan sesiapa sahaja yang berdepan situasi sebegini akan menghadapi masalah besar.

Menurutnya, segala maklumat yang dihantar kepada SPRM adalah membabitkan audit akaun yang sangat jelas dan tiada sebarang penyelewengan dibuktikan sehingga hari ini.

Katanya, Bersatu bukan parti yang mempunyai simpanan duit besar kerana ia sebuah parti yang berjiwa miskin.

Dalam perkembangan lain Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, sehingga kini tiada satu pun dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion yang sedang disiasat SPRM itu dapat dibuktikan. – Malaysiapost

Komen