‘Pejuang tolak GTA, jadi tolak saya jugalah’ – Tun M

‘Pejuang tolak GTA, jadi tolak saya jugalah’ – Tun M

KEPUTUSAN Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana parti itu kini dilihat mempunyai aliran berbeza berbanding matlamat asal penubuhannya.

Malah, Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu mengesahkan Pejuang tidak lagi mahu bersama dengan GTA.

“Pejuang tolak GTA, saya juga dalam GTA jadi dia tolak saya juga lah. Saya kena pilihlah nak kena ada dalam Pejuang atau GTA, saya pilih untuk ada dalam GTA.

“Saya ada dalam GTA dari dulu, pun ada dalam Pejuang tapi (Pejuang) nampak aliran dia lain sikit sebab itu saya letak jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada e-Forum Usahawan Bumiputera Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Pejuang mengumumkan keluar parti yang diasaskannya itu bersama 12 lagi ahli lain, semalam.

Mereka memaklumkan tidak lagi menjadi ahli Pejuang berikutan keputusan parti itu memutuskan hubungan dengan GTA.

Sementara itu, diminta mengulas perancangan selepas ini, Dr Mahathir menegaskan akan memberi tumpuan untuk memperkukuh GTA.

Beliau berkata, GTA terbuka untuk menerima sesiapa sahaja termasuk dari kalangan pemimpin yang dipecat daripada Umno sebelum ini.

“Kita nak terima siapa saja yang bersih… yang berjuang untuk bangsa, negara, agama,” katanya.

Beliau bagaimanapun memaklumkan sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan daripada bekas pemimpin Umno. – Malaysiapost

Komen