Rakyat masih tunggu kerajaan tangani soal ekonomi, kos sara hidup – Muhyiddin

Rakyat masih tunggu kerajaan tangani soal ekonomi, kos sara hidup – Muhyiddin

SEBAHAGIAN besar rakyat masih menunggu tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menangani masalah utama dihadapi negara, termasuk soal kehidupan dan ekonomi mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata apabila kerajaan baharu dibentuk, rakyat mengharapkan fokus utama bagi menyelesaikan masalah negara dan kehidupan rakyat serta menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana masih terkesan selepas berhadapan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, rakyat masih terbeban dengan pelbagai isu seperti ekonomi, kos sara hidup tinggi, inflasi, harga barang yang tidak turun dan harga petrol yang dijanjikan turun, namun tidak menjadi kenyataan sehingga hari ini.

Katanya, ada beberapa perkara yang wajar diputuskan kerajaan secara cepat tanpa membabitkan perbelanjaan dana kerajaan (bukan fiskal), namun sehingga hari ini masih tidak dilaksanakan.

“Sebagai contoh, sebahagian rakyat menuntut wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan secara bersasar kerana ia bukan dana kerajaan dan boleh dilaksanakan bagi mengurangkan beban rakyat.

“Ada pihak yang membahaskan jika wang KWSP dikeluarkan, pencarum akan berhadapan masalah pada masa depan, ia betul tetapi perkara itu soal kedua dan sekiranya kerajaan tidak lakukan perkara itu, rakyat akan terus berdepan kesukaran sedangkan mereka ada simpanan yang boleh diguna,” kata memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya di Presint 8 hari ini.

Muhyiddin berkata, ketika beliau menerajui kerajaan sebelum ini, pihaknya juga meluluskan pengeluaran KWSP seperti i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari, selain memberi moratorium penangguhan bayaran pinjaman bank.

“Kenapa kerajaan sekarang tidak boleh teruskan perkara itu bagi membantu rakyat.

“Tiada langkah berkesan ditunjukkan kerajaan bagi meyakinkan rakyat, yang ada hanya pengumuman Anwar mengenai pelantikan anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

“Anwar tidak memegang pada janji apabila mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang dilaungkannya apabila melantik anak sendiri memegang jawatan itu,” katanya. – Malaysiapost

Komen