SPPB ditutup sementara bagi penambahbaikan – Fadhlina

SPPB ditutup sementara bagi penambahbaikan – Fadhlina

SISTEM Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) akan ditutup sementara pada hujung minggu ini bagi kerja penambahbaikan berikutan sistem berkenaan tidak berfungsi dengan baik.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu juga bagi mengelak menjadi tekanan kepada guru selepas banyak aduan diterima berhubung sistem itu yang tidak berfungsi seperti diharapkan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil beberapa langkah termasuk menggerakkan pasukan pegawai di peringkat daerah dan negeri untuk ke sekolah-sekolah bagi membantu guru mengemas kini data dan melengkapkan proses kerja berkaitan.

“Saya telah menerima banyak aduan dan keluhan berkaitan SPPB yang tidak dapat berfungsi seperti mana para guru harapkan.

“Bagi pihak KPM, saya amat kesal dan memohon maaf atas segala kesulitan dan tekanan yang terpaksa dilalui oleh para guru.

“Justeru, SPPB akan ditutup pada hujung minggu ini agar dapat ditambahbaik dan tidak menjadi tekanan kepada guru,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau membuat kenyataan itu susulan rungutan ketidakpuasan hati guru dengan sistem berkenaan yang sudah lebih seminggu tidak dapat diakses dengan baik.

SPPB ialah satu sistem pengurusan pentaksiran terkini, berterusan, dan menyeluruh bagi semua jenis pentaksiran KPM sama ada berkaitan murid, guru dan institusi pendidikan. – Malaysiapost

Komen