Tiada perubahan dalam takwin persekolahan dalam masa terdekat – Fadhlina

Tiada perubahan dalam takwin persekolahan dalam masa terdekat – Fadhlina

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan cadangan untuk mengembalikan semula takwim persekolahan yang bermula pada Januari seperti sebelum ini, tidak akan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya perlu mengambil kira pelbagai justifikasi sebelum membuat keputusan mengenai bila pelaksanaan sesi persekolahan pada Januari itu dapat dimulakan semula.

“Kita akan kembali (sesi persekolahan mula Januari) tapi bukan sekarang kerana kita kena ambil kira beberapa justifikasi terutama membabitkan kitaran kanak-kanak yang belum habis.

“Selain itu, berkait rapat dengan bilangan hari persekolahan di bawah Akta Pendidikan yang tidak boleh kurang daripada 190 hari dan isu-isu lain termasuk ekonomi serta guru dan hal-hal lain.

“Kita akan beri perhatian kepada semua isu-isu ini terlebih dulu sebelum boleh kembali takwin persekolahan pada Januari,” katanya kepada pemberita di Seremban, hari ini.

Sesi persekolahan sebelum ini berubah susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan takwim persekolahan bagi 2022/2023 bermula pada Mac 2022.

Takwim bagi sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 10 dan 11 Mac depan, mengikut negeri. – Malaysiapost

Komen