Tun M, 12 ahli tinggalkan Pejuang

Tun M, 12 ahli tinggalkan Pejuang

BEKAS Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan keluar parti yang diasaskannya itu bersama 12 lagi ahli lain, semalam.

Mereka ialah Datuk Marzuki Yahya; Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; Abu Bakar Yahya; Armin Baniaz Pahamin; Afiqah Mohamad; Azman Mohd Hashim; Datuk Nuhairi Rahmat; Mohd Jaffri Hussain; Mohamad Jani; Datuk Ahamed Basheer, Wan Azliana Wan Adnan dan Fyzul Adzwan Mustafa Kamal.

Salinan surat berhubung keputusan 13 individu terbabit kepada Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah dikongsi dalam laman Facebook Marzuki Yahya malam tadi.

Dalam surat tersebut, mereka memaklumkan tidak lagi menjadi ahli Pejuang berikutan keputusan parti itu memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

“Keputusan Pejuang memutus hubungan dengan GTA secara langsung menyingkir kami dari kekal sebagai ahli apabila kami bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.

“Bagi kami matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan yang berprinsip dan berpegang kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.

“Di atas kesedaran ini, kami memilih untuk meneruskan perjuangan itu melalui GTA,” katanya dalam surat yang ditandatangani 13 ahli Pejuang.

Pejuang ditubuhkan Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri, pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai Pengerusinya pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, perwakilan Pejuang mengumumkan tarik diri daripada GTA, pada mesyuarat agung kedua parti itu, 14 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang, gagal meraih sebarang kemenangan meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.

Dr Mahathir sendiri kalah teruk dengan majoriti 13,518 undi di kerusi Parlimen Langkawi yang menyaksikan beliau hilang wang deposit apabila sekadar meraih 4,566 undi. – Malaysiapost

Komen