1,000 penduduk Kepong terima geran tanah
LEBIH 1,000 pemilik hartanah di Taman Daya, Kepong bakal menerima geran hak milik selepas menuntut untuk mendapatkannya selama hampir 40 tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkata, isu berkenaan menemui jalan penyelesaian setelah beberapa siri mesyuarat di Pejabat Tanah Gombak dan perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.
“Kini, pejabat saya, Pejabat Tanah Gombak dan Kerajaan Negeri Selangor dalam kaedah penyelesaiannya telah bersetuju untuk mengenakan premium nominal sahaja, agar geran boleh dikeluarkan.
“Pihak ‘liquidator’, iaitu CRS Advisory akan memaklumkan secara terperinci perkara ini kepada para pemilik dan menyambung kerja-kerja pengukuran mereka,” katanya di Facebook.
Prosedur ini melibatkan hartanah di Pangsapuri Kos Renda Taman Daya (250 pemilik), jenis rumah kedai (585 pemilik) dan Astana Square Service Apartment (176 pemilik)
Terdahulu, para penduduk di kawasan ini gusar dan bimbang berikutan rumah mereka yang didirikan sejak sekian lama di tanah tersebut masih tidak mempunyai geran. – Malaysiapost