142 anggota penyelamat Malaysia kini berada di Turkiye
SECARA keseluruhan penglibatan pasukan Malaysia di Turkiye bagi membantu mangsa gempa bumi yang melanda negara berkenaan 6 Februari lalu adalah seramai 142 orang serta dua anjing pengesan.
Kementerian Luar Negeri melalui kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, hari ini memaklumkan penghantaran pasukan itu adalah hasil kerjasama semua agensi kerajaan Malaysia, perwakilan Malaysia di Ankara dan Istanbul, Turkiye.
“Pasukan Malaysia yang diketuai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) adalah antara pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terawal sampai di ‘ground zero’ iaitu di Gaziantep.
“Pasukan Malaysia juga dianggotai oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, Malaysia juga telah menggerakkan pembukaan Hospital Medan Kategori Tiga oleh ATM yang akan beroperasi di wilayah Adiyaman, Turkiye.
“Dua pesawat A400 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Gaziantep pada petang 10 Februari lalu melalui penerbangan selama 15 jam dengan muatan peralatan lebih 30 tan dan 38 anggota teknikal.
“Manakala 70 anggota perubatan pelbagai pangkat dari ATM telah berangkat melalui penerbangan Turkish Airlines pada 10 dan 11 Februari lalu dengan membawa peralatan tambahan seberat 8.8 tan,” katanya.
Wisma Putra berkata, tiga pegawai SMART turut diberi tugasan awal oleh Agensi Bencana Alam Turkiye (AFAD) untuk mengendalikan ‘Reception Departure Centere (RDC) di Lapangan Terbang Adana untuk mengkoordinasi urusan kemasukan pasukan SAR dari negara lain.
“Penugasan di RDC adalah berdasarkan mekanisme dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG).
“Sebagai antara pasukan pertama yang tiba, pasukan bantuan Malaysia menjadi rujukan untuk membantu AFAD dan United Nations Office for the Coordination of Humanitarian (UN OCHA) sebagai pegawai pengendali RDC sehingga digantikan pasukan yang tiba kemudiannya,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan Malaysia telah melaksanakan tugasan dengan cemerlang walaupun dalam keadaan cuaca yang amat sejuk di bawah paras beku khususnya pada waktu malam.
“Antara kejayaan besar pasukan Malaysia adalah penemuan seramai lima mangsa yang terselamat walaupun selepas lebih 129 jam (lima hari) kejadian gempa bumi berlaku,” katanya.
Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan berdasarkan maklum balas daripada pasukan Malaysia di Gaziantep, terdapat beberapa barangan yang amat diperlukan oleh mangsa yang terselamat.
“Khemah musim sejuk, selimut tebal, alat pemanas, bilik mandi dan tandas mudah alih, beg tidur serta kontena untuk tempat tinggal sementara.
“Bagi sesiapa yang ingin menyumbang kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria, sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) yang diselia pihak Kementerian Luar Negeri,” katanya.
Dalam masa sama, rakyat Malaysia yang berada di Turkiye, Syria dan negara-negara berdekatan dinasihatkan agar terus mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi nasihat dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa. – Malaysiapost