19 warga Myanmar ditahan cuba masuk sempadan negara secara tidak sah

19 warga Myanmar ditahan cuba masuk sempadan negara secara tidak sah

SERAMAI 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar berjaya ditahan ketika cuba masuk ke Malaysia menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan, memaklumkan tangkapan dibuat di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) pada jam 9.15 pagi.

“Bertindak atas maklumat perisikan yang diperolehi, pasukan beroperasi telah mengesan dan seterusnya menahan sekumpulan tujuh PATI yang cuba memasuki Malaysia secara haram di kawasan ladang getah berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.

“Seterusnya, pada jam 10.30 pagi, pasukan beroperasi telah mengesan dan menahan satu lagi kumpulan seramai 12 orang tidak jauh dari lokasi pertama,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua 19 orang awam yang ditahan merupakan PATI warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan lapan wanita yang berusia antara 21 hingga 44 tahun.

“Turut dirampas adalah 12 telefon bimbit, wang dalam matawang Malaysia, Thailand dan Myanmar, dua pasport serta 17 kad pengenalan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM 8,798,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua PATI berkenaan kemudian diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

“Pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan PATI,” katanya. – Malaysiapost

Komen