Ambil tindakan tegas, Ramasamy kini bebanan DAP – Veteran Umno
Najamuddin Mohd Nor
TINDAK TANDUK Dr P Ramasamy yang sengaja ‘mencari fasal’ bersifat perkauman dilihat kini menjadi bebanan kepada DAP.
Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu tidak wajar kerana telah menggugat keharmonian DAP yang kini berwajah baharu dipimpin Anthony Loke sekali gus mengancam kestabilan Kerajaan Perpaduan.
“Kenyataan bersifat perkauman dan ‘mencari fasal’ oleh Ramasamy yang bertujuan sengaja membangkit kebencian kaum mesti dihentikan sekiranya Kerajaan Perpaduan mahu mengekalkan kestabilan.
“DAP misti bertindak tegas bagi menutup mulut celupar dan busuk Ramasamy. Dia sudah menjadi bebanan kepada DAP dibawah kepimpinan Anthony Loke yang dilihat ‘lebih mesra Melayu’ berbanding kepimpinan dahulu,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Mengulas mengenainya, Mustapha berkata, desakan Ramasamy yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merubah struktur penjawat awam dalam kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu jelas membuktikan beliau anti Melayu.
“Ramasamy sengaja membelakang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak-hak istimewa kepada orang Melayu dalam perkhidmatan awam.
“Dia telah membuktikan dia bukan India Malaysia yang faham negara ini penduduk asalnya Melayu. Dia menganggap dirinya seolah-olah India yang datang menumpang dinegara ini.
“Sikap perkauman yang melampau seperti ditunjukkan Samy amat berbahaya kepada perpaduan bangsa di negara ini,” katanya.
Justeru, Mustapha menegaskan, Veteran Umno mendesak Perdana Menteri mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin DAP itu bagi menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan ini.
“Veteran Umno mendesak Perdana Menteri supaya mengambil tindakan tegas keatas Ramasamy sekiranya mahu Kerajaan Perpaduan pimpinannya kekal lama.
“Ini kerana tindak tanduk Ramasamy yang sering ‘mencari fasal’ itu adalah ‘bom jangka’ yang boleh meletup dan menghancurkan kerajaan yang masih muda usianya ini,” katanya.
Terdahulu, DAP memaklumkan akan menggunakan saluran dalaman parti itu bagi menangani isu yang membabitkan Ramasamy itu.
Anthony yang merupakan Setiausaha Agung DAP berkata, beliau menghormati gesaan pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan supaya tindakan diambil terhadap Ramasamy susulan kenyataannya sebelum ini.
“DAP ada cara menguruskan hal dalaman kita. Jadi apa saja pandangan daripada rakan-rakan (parti dalam kerajaan) saya ucap terima kasih.
“Kami akan menangani sebarang isu menggunakan saluran DAP dan dengan pendekatan kami sendiri.
“Jadi, saya mahu memberikan peringatan ini supaya pemimpin DAP di semua peringkat tidak perlu menimbulkan apa-apa lagi polemik dalam masyarakat,” katanya. -Malaysiapost