AMK Pulau Pinang desak Ramasamy dipecat

AMK Pulau Pinang desak Ramasamy dipecat

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mendesak kerajaan Pulau Pinang memecat Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy berikutan berulangkali mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis dan kontroversi.

Ketua Penerangannya Abshar Nurasyraf, berkata terbaharu Ramasamy dilihat mengeluarkan kenyataan bersifat kontroversi yang tidak menguntungkan kerajaan, rakyat mahupun negara malah menjadi liabiliti terhadap semua pihak.

Menurutnya, dalam usaha menuju ke arah Malaysia Madani, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu sebagai pemimpin nombor dua di Pulau Pinang harus lebih peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan sebegini, malah sudah berulang kali.

“Isu ramai penjawat berbangsa Melayu bukanlah satu isu yang besar sebaliknya beliau cuba mencurah minyak ke api bertujuan hanya untuk mencari perhatian dan sokongan murahan pihak-pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramasamy dalam satu kenyataan sebelum ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didominasi oleh orang Melayu.

Semalam, Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan turut menggesa DAP memecat Ramasamy susulan kenyataan kontroversi yang disifatkan menyusahkan Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi kerajaan.

Mengulas lanjut, Abshar berkata pihaknya yakin di bawah kepimpinan Anwar tidak akan wujud sebarang diskriminasi ke atas mana-mana kaum untuk mendapat tempat dalam mana-mana sektor pekerjaan.

Beliau turut menyeru agar semua bertenang dan tidak melayani publisiti murahan yang keluar daripada individu seperti ini.

Tegasnya, tindakan memecat atau letak jawatan sewajarnya dilakukan pada ketika ini untuk memberi peluang kepada pemimpin lain yang lebih berkaliber dan layak menjadi orang nombor dua di negeri ini.

“Tunjang terhadap kekuatan dan kesepaduan yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia pada hari ini wujud hasil daripada perpaduan rakyatnya. Ia harus kita semarakkan, bukan dipecahkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen