Loke ingatkan Ramasamy, usah bercakap seperti pembangkang
DAP akan menggunakan saluran dalaman parti itu bagi menangani isu yang membabitkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau menghormati gesaan pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) supaya tindakan diambil terhadap Ramasamy susulan kenyataannya sebelum ini.
Menurutnya, Ramasamy tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu yang dilihat hanya menambah masalah dalam kerajaan.
“DAP ada cara menguruskan hal dalaman kita. Jadi apa saja pandangan daripada rakan-rakan (parti dalam kerajaan) saya ucap terima kasih.
“Kami akan menangani sebarang isu menggunakan saluran DAP dan dengan pendekatan kami sendiri.
“Jadi, saya mahu memberikan peringatan ini supaya pemimpin DAP di semua peringkat tidak perlu menimbulkan apa-apa lagi polemik dalam masyarakat,” katanya selepas pelancaran Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan, hari ini.
Beliau menjawab gesaan beberapa ahli politik termasuk daripada parti komponen PH yang menggesa Ramasamy dipecat berikutan kenyataan kontroversinya mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecahkan monopoli orang Melayu dalam sektor awam.
Ramasamy dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Anwar, digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban turut mengingatkan pemimpin DAP supaya mengubah cara fikir mereka, iaitu sebagai pemimpin dalam kerajaan bukan lagi bertindak seperti pembangkang.
“DAP berada dalam kerajaan bukan saja negeri tapi juga persekutuan. Jadi bila kita ada dalam kerajaan, kita harus bertindak dan berfikir sebagai parti kerajaan. Ini memerlukan perubahan minda dan anjakan paradigma yang sudah tentu mengambil sedikit masa.
“Tidak guna membangkitkan masalah saja. Kita mesti mencari jalan penyelesaian, sebab kita sebahagian daripada kerajaan.
“Jadi bagi saya, mana-mana pemimpin yang menimbulkan apa-apa polemik dalam masyarakat kita, seharusnya tahu persekitaran sentimen politik dalam negara kita ini tidak produktif langsung dan (kenyataan seumpama itu) tidak akan ke mana-mana,” katanya. – Malaysiapost