Gangguan bekalan air angkara tumpahan diesel jentera – LUAS

Gangguan bekalan air angkara tumpahan diesel jentera – LUAS

TUMPAHAN diesel dari aktiviti jentera berat di Sungai Selangor dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau yang menyebabkan 1,000 kawasan mengalami gangguan bekalan air hari ini.

Menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang dikesan jam 9.45 malam tadi menyebabkan empat loji terpaksa dihenti tugas selama empat jam untuk mengelakkan kesan lebih teruk.

Ia membabitkan LRA Rantau Panjang serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).

“Hasil semakan awal di keseluruhan lembangan Sungai Selangor, permasalahan pencemaran bau tersebut dikenal pasti berkaitan bau tumpahan minyak dari aktiviti jentera berat (diesel).

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan bagi memastikan permasalahan ini diselesaikan sepenuhnya di lapangan berkaitan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut Air Selangor, lapan wilayah terjejas susulan pencemaran berkenaan iaitu Petaling (370 kawasan), Gombak (279), Hulu Selangor (30), Klang & Shah Alam (189), Kuala Langat (3), Kuala Lumpur (186) dan Kuala Selangor (280).

Bekalan air mula disalurkan secara berperingkat mulai jam 6.30 pagi tadi selepas empat LRA terbabit kembali beroperasi sepenuhnya.

LUAS berkata, sumber air mentah ke muka sauk empat loji terbabit berjaya disalurkan secara berperingkat di antara jam 1.30 pagi hingga 2.15 pagi selepas merekodkan bacaan bau 0 ton secara konsisten dalam tiga pensampelan.

“Insiden berjaya dikawal segera dengan penyaluran air mentah daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut yang meningkatkan pencairan sungai serta aliran tercemar melepasi kawasan muka sauk dengan cepat,” katanya. – Malaysiapost

Komen