Jangan ‘double standard’ hukum individu rasis

Jangan ‘double standard’ hukum individu rasis

KETUA Dewan Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari, berpandangan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang , Dr P Ramasamy susulan kenyataannya mengenai dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam.

Ahli Parlimen Pasir Emas itu memberi contoh isu komen berbaur perkauman dibuat seorang pemain hoki wanita negara yang kemudian dikenakan hukuman gantung daripada mewakili pasukan hoki kebangsaan termasuk sukan SEA Cambodia 2023.

Beliau menggambarkan jika Ramasamy tidak dihukum susulan kenyataannya mengenai dominasi kaum Melayu dalam perkhidmatan awam baru-baru ini, maka keadaan berkenaan menunjukkan berlakunya ‘double standard’ dalam kerajaan.

“Seorang atlet memberikan komen secara bergurau, dicop rasis dan digantung.

“Seorang lagi pula, Timbalan Ketua Menteri, mengeluarkan kenyataan menggambarkan orang Melayu ‘terlalu dominan’ dalam perkhidmatan awam, sehingga hari ini masih berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri.

“Jangan butakan mata kita untuk membuat penilaian!” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Fadhli mengulas mengenai kenyataan Ramasamy yang menggesa Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam yang didominasi kaum Melayu ketika ini.

Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, alasan penyertaan orang Melayu dalam sektor awam bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi, seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam maklum balas mengenai gesaan itu menegaskan dominasi Melayu dalam perkhidmatan sektor awam bukan satu masalah buat masa ini dan Kerajaan Perpaduan tidak bercadang untuk membuat sebarang perubahan mengenainya.

Anwar berkata, cadangan Ramasamy itu hanya pandangan peribadinya dan tidak mewakili pendirian DAP.

Sementara itu, atlet yang dimaksudkan oleh Ahmad Fadhli adalah pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn yang dikenakan hukuman oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana didapati membuat hantaran berbaur perkauman di media sosial.

Hanis Nadiah sebelum ini dikecam selepas memuat naik ciapan di Twitter berunsur rasis membabitkan konsert penyanyi serta komposer legenda India, AR Rahman di ibu negara baru-baru ini. – Malaysiapost

Komen