Kepala air punca banjir lumpur landa Janda Baik, Bukit Tinggi

Kepala air punca banjir lumpur landa Janda Baik, Bukit Tinggi

BEBERAPA kawasan kampung serta penempatan di Bukit Tinggi dan Janda Baik dilanda banjir berlumpur berikutan fenomena kepala air akibat hujan lebat, hari ini. 

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bentong, Leftenan (PA) Azizah Husain berkata, kejadian bermula pada pukul 6.30 petang tadi. 

Bagaimanapun, Azizah memaklumkan tiada pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara setakat ini.

Jelasnya, APM Bentong bergegas ke tempat bencana setelah menerima panggilan mengenai kejadian tersebut.

“15 premis perniagaan dan lima buah rumah penduduk terbabit. Kita sudah menyediakan bantuan untuk melakukan kerja pembersihan.

“Berikutan kejadian kepala air, Jalan lama Bentong – Kuala Lumpur terputus hubungan dan ditutup kepada semua kenderaan di FT68 Seksyen 43.4, selepas laluan naik ke Janda Baik,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Azizah berkata, air berlumpur mengalir deras menuruni bukit ke kawasan perkampungan Bukit Tinggi bermula pukul 6 petang sehingga kini menyebabkan banyak kenderaan yang melalui kawasan itu terkandas.

Menurutnya, agensi lain turut terlibat dalam operasi pemantauan keselamatan dan kebajikan penduduk iaitu anggota polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terbabit. – Malaysiapost

Komen