Ketua Penerangan Pejuang Negeri Sembilan kesal dipecat melalui WhatsApp

Ketua Penerangan Pejuang Negeri Sembilan kesal dipecat melalui WhatsApp

PERGOLAKAN dalaman parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kini semakin hangat dengan beberapa pemimpinnya tampil mendedahkan kepincangan parti itu.

Terbaharu, bekas Ketua Penerangan Pejuang Negeri Sembilan, Akmal Noradzmi Abd Rahim mendakwa beliau dipecat daripada jawatannya itu pada minggu lalu hanya melalui mesej di aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, pemecatannya itu dibuat tanpa sebarang alasan dan tidak langsung dipanggil untuk membela diri.

“Kepercayaan saya memasuki Pejuang kerana perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Saya telah menjadi Ketua Penerangan Pejuang Negeri Sembilan sejak Julai 2022.

“Namun saya telah dipecat dari jawatan hanya melalui WhatsApp pada 5 Februari 2023 tanpa sebarang alasan. Saya hanya dimaklumkan melalui kumpulan WhatsApp Pimpinan Tertinggi Pejuang Negeri Sembilan.

“Selepas makluman itu saya terus dikeluarkan dari kumpulan WhatsApp berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu bekas Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan keluar parti yang diasaskannya itu bersama 12 lagi ahli lain, kelmarin.

Tindakan itu dikatakan susulan keputusan parti itu memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

Akmal Noradzmi berkata, Pejuang adalah sebuah wadah untuk membela dan menyatukan Melayu, tetapi dengan keputusan pilihan raya lalu sewajarnya Pejuang bergerak lebih aktif dalam menyatukan kekuatan melayu agar parti itu kekal relevan.

“GTA wajib diperkukuh dan dibesarkan sama ada digabungkan atau bergabung, bukannya Pejuang bertindak sebaliknya.

“Persoalannya Pejuang hendak ke mana? Adakah mula terpesona dengan tawaran bersama kerajaan yang ada?” soalnya.

Beliau yang kesal dipecat dengan cara tidak betul sebagai Ketua Penerangan Negeri Sembilan dan dengan perkembangan itu beliau bersedia untuk tindakan lebih keras.

“Pendirian saya jelas, kuasa dan maruah politik Melayu wajib dikembalikan, jika Pejuang tidak bersama maka Pejuang itu sendiri akan hilang.

“Semua gerakan siasah Melayu yang berteraskan kepentingan agama dan tanah air perlu disatukan,” katanya. – Malaysiapost

Komen