Nurul Izzah bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM
NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
“Mohd Hassan telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.
“Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi kepada bapanya sejak 3 Januari lalu, menimbulkan kontroversi dan kritikan ramai walaupun beliau dikatakan tidak menerima gaji.
Menurut anak sulung Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu, beliau amat menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.
Nurul Izzah turut menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan sama ada daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.
“Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.
“Saya berharap khidmat membantu Tan Sri Mohd Hassan beserta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara tercinta.
“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita,” katanya. – Malaysiapost