Parlimen Kemaman sah milik PAS 

Parlimen Kemaman sah milik PAS 

MAHKAMAH Pilihan Raya Terengganu mengisytiharkan keputusan pemilihan Ahli Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum PRU-15 (PRU15) lalu adalah sah.

Setiausaha Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi (Luham) PAS Pusat, Ahmad Lufti Awang berkata, Hakim, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abas membuat keputusan tersebut selepas bersetuju bantahan awal responden Ahli Parlimen Kemaman terhadap petisyen keputusan bagi Parlimen tersebut.

Jelasnya, bantahan awal yang dikemukakan peguam responden berkaitan dengan fakta-fakta yang diplidkan untuk menyokong dakwaan sogokan dan rasuah pilihan raya yang terkandung dalam petisyen yang dikemukan oleh pempetisyen Barisan Nasional (BN) adalah sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

Ahmad Lutfi berkata, menurut mahkamah, memandangkan dakwaan sogokan dan rasuah adalah bersifat quasi-criminal (separa jenayah), maka adalah penting bagi pempetisyen memplidkan butiran fakta yang lengkap, terperinci dan sempurna agar responden diberikan keadilan yang seluas-luasnya berdasarkan maklumat lengkap untuk menjawab dan membela diri daripada pertuduhan tersebut. 

“Kecacatan Petisyen Pempetisyen dalam membekalkan fakta-fakta berkenaan, tidak boleh dikompromikan dan memastikan keadilan dalam perbicaraan. 

“Justeru Petisyen tidak wajar dibenarkan melalui proses perbicaraan dalam keadaan Pempetisyen sendiri samar dengan dakwaan rasuah pilihan raya.

“Atas asas itu, mahkamah memutuskan petisyen ini adalah cacat, defektif dan tidak sah. 

“Sehubungan dengan itu Mahkamah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi mengisytiharkan pemilihan responden selaku Ahli Parlimen bagi P.040 Kemaman adalah sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Ahmad Lufti turut menjelaskan, pihak pempetisyen juga perlu membayar kos perundangan sebanyak RM30,000 kepada responden.

Katanya, keputusan tersebut dibacakan oleh hakim menerusi sesi aplikasi zoom, sebentar tadi.

Sementara itu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan permohonan Perikatan Nasional (PN)  untuk membatalkan petisyen keputusan bagi Parlimen Marang.

Hakim Hassan Abdul Ghani juga menetapkan perbicaraan penuh bagi petisyen Parlimen Marang akan bermula pada 6 Mac sehingga 21 Mac depan. -Malaysiapost

Komen