Ramasamy dakwa kenyataan diputar belit

Ramasamy dakwa kenyataan diputar belit

TIMBALAN Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy mendakwa beberapa media memutar belit hantaran Facebook peribadinya yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, berkata cadangannya yang meminta untuk melakukan pembaharuan adalah atas dasar semangat membawa perubahan yang bermakna kepada amalan tadbir urus.

“Perkara yang menggesa perubahan kepada amalan tadbir urus, tidak sama dengan ‘memecahkan monopoli orang Melayu’.

“Tetapi malangnya, ahli politik beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) cuba mentafsir semula berita terpakai di media untuk memberikan sifat perkauman kepada hujah saya berkenaan reformasi dalam perkhidmatan awam.

“Inilah yang berlaku apabila kebenaran diputar-belitkan dengan konteks kutukan perkauman dan ekstremisme agama,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian bagi menjawab gesaan beberapa ahli politik agar dipecat berikutan kenyataan kontroversinya mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecahkan monopoli orang Melayu dalam sektor awam.

Ramasamy dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Anwar, digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum. – Malaysiapost

Komen