Rebut calon MB bukti PN rapuh di Selangor

Rebut calon MB bukti PN rapuh di Selangor

KETIDAKSEPAKATAN antara PAS dan Bersatu di Selangor memberi isyarat kepada pengundi di negeri itu untuk menolak Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, beberapa kenyataan bercanggah daripada dua parti komponen PN itu mengenai calon Menteri Besar Selangor membuktikan gabungan berkenaan tidak mampu menerajui Selangor.

Katanya, keadaan ‘retak menanti belah’ PN di Selangor telah diterjemahkan menerusi beberapa kenyataan berasingan pimpinan PN yang telah menamakan beberapa individu antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Khairy Jamaluddin sebagai calon Menteri Besar Selangor.

“PN sendiri tidak boleh selesaikan masalah calon MB Selangor kalau kita tengok ada nama Azmin Ali tapi ada di kalangan pimpinan Pas tidak bersetuju kerana mereka ada calon yang lebih layak termasuk Yunus Hairi.

“Ditambah pula kononnya Khairy Jamaluddin pun nak jadi MB, maknanya mereka (PN) sendiri tiada kesepakatan untuk menamakannya,” katanya dipetik Harapan Daily, hari ini.

Halimey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia berkata, kecelaruan yang timbul untuk menamakan nama calon Menteri Besar Selangor oleh PN hanya akan mencetuskan ketidakstabilan politik di negeri Selangor.

“Saya kira pembangkang (PN) harus memikirkan bagaimana mereka hendak memenangi hati rakyat dengan menumpukan segala kerja dan usaha untuk membantu rakyat terbanyak.

“Saya yakin rakyat Selangor masih percaya dengan kepimpinan negeri Selangor yang ada sekarang ini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Bersatu mencalonkan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya PN berjaya menawan Selangor pada PRN ini.

Namun, PAS juga dilaporkan mempunyai calon Menteri Besar dan dijangka mempertaruhkan kredibiliti ADUN Sijangkang Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi. -Malaysiapost

Komen