Sarah akhirnya serah diri ke hospital dapatkan rawatan 

Sarah akhirnya serah diri ke hospital dapatkan rawatan 

PELAKON Puteri Sarah Liyana terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur sejurus tiba dari Dubai, semalam. 

Puteri Sarah, 38, yang baru pulang menunaikan umrah berkata, dia mengalami rasa tidak sedap badan dan batuk sejak berada di Tanah Suci Mekah lagi dan menanggung kesakitan itu sehingga kembali ke Malaysia.

“Saya memang tak cukup rehat… penat sangat. Hanya sehari sebelum umrah saya cuti untuk kemas barang.

“Cuaca di sana (Mekah) mungkin juga jadi faktor saya batuk. Mulanya ingat boleh tahan, tetapi sampai sahaja Kuala Lumpur semalam saya rasa terus nak tumbang.

“Lepas pulang ke rumah, selesaikan berkemas dan makan, saya terus ke hospital,” katanya dipetik Mstar, hari ini. 

Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram, Sarah berkongsi situasi dia sedang berada di hospital. 

Dalam perkongsian itu, Sarah turut memohon maaf kerana terpaksa membatalkan beberapa tawaran kerja berikutan keadaannya yang tidak sihat ketika ini. 

“Maafkan saya terpaksa batalkan sesi photoshot. Akhirnya saya tumbang juga.

“Saya perlu berehat dan dipantau doktor. Insya Allah bila sudah sihat nanti saya akan bekerja semula,” catatnya. 

Menurut Sarah, selepas selesai mengerjakan umrah, dia bersama dua orang anaknya iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah bercuti ke Dubai.

“Semalam saya menahan sakit 17 jam dalam penerbangan dari Dubai ke KL. Sampai di sini badan saya dah menggigil kesejukan. Sebab itu terus ke hospital,” katanya. -Malaysiapost

Komen