Skim simpanan tipu, 8 ditahan

Skim simpanan tipu, 8 ditahan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang giat menjalankan siasatan terhadap satu penipuan skim simpanan dikenali sebagai ‘Sapiza Saving Extra’ (SSE) yang dikesan aktif di seluruh Malaysia ketika ini.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata sehingga kini sejumlah 116 laporan polis telah diterima membabitkan nilai kerugian berjumlah RM4.438 juta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati skim berkenaan sudah aktif sejak tahun 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan ‘permainan kutu’.

“Namun bermula pada tahun 2021, skim ini mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu iaitu pelan Serendah RM250 sehingga RM20,000 merangkumi tempoh simpanan antara dua hingga lima bulan.

“Sebagai tambahan, skim baharu yang ditawarkan turut menjanjikan keuntungan sebanyak 15 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah wang yang disimpan.

“Bagaimanapun, sejak Oktober 2022, pengendali skim simpanan ini didapati telah mulai gagal melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, melalui serbuan dan tangkapan di sekitar Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan yang dilaksanakan pada 27 Januari 2023, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) berjaya menahan lapan individu termasuk dalang utama sindiket penipuan berkenaan.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 31 hingga 37 tahun. Turut dirampas sebuah kenderaan mewah, kad ATM, telefon bimbit pelbagai jenama dan pelbagai dokumen yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Noorsiah berkata, dalam usaha membanteras kegiatan penipuan sedemikian, PDRM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim yang meragukan,” katanya. – Malaysiapost

Komen