Tuduhan tidak berasas, semua kaum terbuka sertai perkhidmatan awam – CUEPACS
KENYATAAN Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy mengenai pengambilan berasaskan kaum dalam sektor perkhidmatan awam adalah satu tuduhan yang berat dan tidak berasas.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat yang terkilan dengan kenyataan itu menjelaskan perkhidmatan awam selama ini tidak menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti didakwa.
“CUEPACS ingin tegaskan pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“SPA juga tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Adnan, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam kerana kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri.
“Permohonan pula terbuka kepada semua bangsa dan agama. Tanpa melalui SPA, bagaimana seseorang itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat,” katanya.
Justeru, katanya, adalah tidak wajar menuduh perkhidmatan awam sebagai milik kaum tertentu jika wakil rakyat sendiri tidak bersama-sama untuk meningkatkan lagi pembangunan kerjaya dalam sektor itu.
“Sebelum ini ramai yang tidak berminat untuk menyertai perkhidmatan awam disebabkan faktor gaji yang rendah jika dibandingkan pekerjaan dalam bidang lain.
“Kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.
“Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan, bahkan penjawat awam jugalah kumpulan pertama yang berada di barisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat,” katanya.
Menurutnya, CUEPACS sentiasa mengalu-alukan pandangan dan idea untuk membangunkan lagi sektor perkhidmatan awam agar lebih ramai kaum lain berminat untuk menyertainya.
Namun, beliau berkata, janganlah pandangan dan idea tersebut melukakan mereka yang sedang dan telah berkhidmat untuk negara ketika ini.
Selain itu, CUEPACS turut menasihatkan semua terutama ahli politik supaya tidak menggunakan perkhidmatan awam hanya untuk kepentingan politik masing-masing.
“Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada konsep neutral dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost