Yana Najib tanding Exco Puteri Umno
ANAK bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa akan bertanding jawatan Exco Puteri Umno pada pemilihan parti kali ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook miliknya.
“Hari ini, Yana Najib datang berkunjung ke pejabat saya Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit di Taman Rengit.
“Beliau datang dengan Dr Masliha Harun, calon Ketua Puteri Umno. Yana pula akan bertanding Exco Puteri Umno. All the best,” tulisnya.
Sebelum ini, seorang lagi anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti akan datang.
Mohd Nazifuddin yang merupakan ahli Umno Bahagian Langkawi berkata, beliau ingin membantu sayap itu bagi menarik golongan muda agar dapat bersama-sama memperkukuhkan perjuangan parti. – Malaysiapost