Aina Abdul juara AJL37

Aina Abdul juara AJL37

PENYANYI bersuara lunak, Aina Abdul menepati ramalan ramai apabila mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil, malam tadi.

Mempertaruhkan lagu Terus Hidup ciptaan sepenuhnya Aina itu sekali gus melayakkan penyanyi itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi.

Naib juara AJL37 dimenangi lagu Satu Malam Di Temasek nyanyian Sonaone dan Joe Flizzow yang dicipta sepenuhnya oleh kedua-dua penyanyi itu, melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi.

Lagu yang memenangi tempat ketiga pula menjadi milik Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 beserta trofi.

Untuk dua tahun berturut-turut, pemenang bagi kategori vokal terbaik masih menjadi milik Aina, kali ini menerusi Terus Hidup.

Kemenangan tersebut melayakkan Aina membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM12,000 beserta trofi.

Bagi kategori persembahan terbaik pula, hasil daripada undian penonton melayakkan penyanyi Shiha Zikir membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 beserta trofi.

Penyanyi Khai Bahar memenangi kategori Penyanyi Pilihan Alha Alfa menerusi lagu Sengsara sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai RM12,000.

AJL37 yang disiarkan secara langsung di TV3 pada jam 9 malam itu menyaksikan gandingan pengacara pelakon popular Sherry Alhadad dan Jihan Muse. – Malaysiapost

Komen