Anggaplah dia sebiji epal busuk – Chong Wei

Anggaplah dia sebiji epal busuk – Chong Wei

SUKAN menjunjung rasa hormat dan menolak rasis, tegas legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei.

Kata-kata itu sebagai kenyataan balas berhubung isu seorang bekas pemain pelapis percubaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Menurut Chong Wei, individu itu tidak sepatutnya membuat sesuatu perkara yang boleh menghancurkan keharmonian rakyat negara ini yang telah dibina berdekad lama, semata-mata mengejar populariti.

“Jangan sesekali demi mengejar nak terkenal, sanggup menghancurkan keharmonian rakyat yang erat bukan dibina sehari dua, tetapi berdekad-dekad,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan bekas pemain tersebut.

Menurutnya, tu adalah pemain pelapis percubaan pada sembilan tahun lalu, dan kini tidak menetap di Malaysia.

Hannah dalam hantaran di media sosial juga mengulangi pendiriannya bahawa sukan perlu bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

Dalam pada itu, Chong Wei bersependapat dengan Hannah dan meminta semua pihak menganggap bekas pemain itu sebagai ‘sebiji epal busuk’.

“Anggaplah dia sebiji epal busuk, kawan-kawan. Terima kasih kepada YB atas kecerdikan and kepantasan mengendalikan isu ini,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan tular sebuah video seorang lelaki dikatakan bekas pemain badminton negara yang membuat satu kenyataan berbentuk penghinaan ke atas agama Islam.

Bekas pemain terbabit mengatakan punca pengurusan BAM kurang baik adalah kerana diuruskan orang Melayu.

Ujarnya, orang Melayu tidak menguruskannya dengan sempurna lebih-lebih lagi kerap meninggalkan latihan ataupun pengurusan tiap kali waktu solat. – Malaysiapost

Komen