Awas! Lato-lato boleh sebabkan kerugian, kerosakan harta benda
PERMAINAN lato-lato kini semakin menjadi kegilaan kanak-kanak di Malaysia.
Permainan berasaskan dua bola yang dihayun dengan tali menggunakan jari itu turut mempunyai risiko tersendiri seperti mendatangkan kecederaan kepada pemain selain boleh merosakkan harta benda.
Meskipun lato-lato dapat mengalih perhatian kanak-kanak daripada asyik bermain gajet, namun permainan ini menuntut ia dimainkan secara berhati-hati bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.
Menerusi perkongsian di Facebook ZeeMalek, dia menyarankan ibu bapa memasang alat khas di skrin televisyen bagi mengelak lato-lato yang melayang terlepas dari kawalan pemain terkena sekali gus memecahkan skrin televisyen di rumah.


“Kes pertama tragedi lato-lato, TV rumah bernilai RM3,000 pecah!
“Sebelum menangis makpak nak kuarkan duit repair tv, baik pasang cepat TV screen protector macam ni. Screen protector ni pecah dulu takpa, boleh pejam mata je sebab harga murah!” katanya.
ZeeMalek turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak memandang sebelah mata nasihatnya itu kerana lato-lato juga mampu membuatkan mereka berputih mata dengan mendatangkan kerugian besar.
“Jangan buat main dengan penangan lato-lato ni, habis rabak poket dibuatnya,” katanya. – Malaysiapost