Guan Yik mohon maaf, akui bersikap melampau batas
SELEPAS memberi kenyataan kontroversi berbaur perkauman dan agama, bekas pemain pelapis badminton negara, Bong Guang Yik tampil memohon maaf atas sikapnya yang melampau itu.
Guang Yik menjelaskan, dia berasa terdorong untuk berkongsi pendapatnya mengenai keadaan semasa badminton di Malaysia, namun mengakui melampaui batas apabila menyentuh soal kaum dan agama.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak. Sebab saya berkongsi komen itu kerana saya sangat meminati badminton.
“Saya rasa bertanggungjawab untuk berusaha dan mempertingkat sukan dan industri bagi manfaat semua.
“Sebab itu saya kata semua peringkat pengurusan seharusnya dalam keadaan bagus,” katanya memetik Sinar Harian hari ini.
Guang Yi turut mengakui dia tidak sepatutnya menyentuh isu perkauman.
“Oleh itu, saya memohon maaf sekali lagi,” katanya.
Semalam, tular klip video Guang Yik yang sedang berada di China mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi akaun TikToknya.
Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh bekas pemain badminton negara tersebut.
Hannah berkata, hasil semakan yang dibuat Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Guan Yik hanya merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 dan kini tidak menetap di Malaysia.
Turut mengecam kenyataan Guang Yik itu ialah legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan bekas pemain beregu negara, Tan Boon Heong yang menyifatkan kenyataan itu tidak berasas dan amat melampau demi meraih perhatian atau ‘rating view’ tinggi. – Malaysiapost