Kalau tak salah kenapa berhenti?, soal Wan Fayhsal
ANGKATAN Anak Muda Bersatu (Armada) mempersoalkan keputusan Nurul Izzah Anwar berhenti sebagai penasihat kepada bapanya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata sedangkan pada masa sama Nurul Izzah masih berkerja di bawah bapanya selaku Menteri Kewangan.
“Kalau tidak salah mengapa berhenti? Apa kata pemimpin PH, JKOM yang bermati-matian menghalalkan nepotisme tempoh hari?
Sungguh sedap mereka berhujah itu dan ini demi tegak benang yang basah. Dasar hipokrit! Izzah diberi mandat oleh Perdana Menteri sebelum ini untuk membantu hal-hal tender kerajaan secara “pro bono”.
“Tapi itu tidak menjustifikasikan sama sekali nepotisme dan konflik berkempetingan yang mencabar tatakelola yang baik,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam Nurul Izzah mengesahkan beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan dipengerusikan, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata isunya bukan sama ada Nurul Izzah mendapat gaji atau tidak, tetapi kuasa sebagai penasihat anak-beranak sangat besar dan boleh pengaruh banyak perkara.
Katanya lagi, bukan sedikit orang yang bercerita Nurul Izzah mempengerusikan mesyuarat sebelum ini di Kementerian Kewangan.
“Bagaimana pula dengan maklumat sulit? Apakah penasihat punya akses langsung?
“Kalau Rafizi (Ramli) selaku Menteri Ekonomi yang dipertanggungjawabkan tiada masalah sebab bila jadi anggota pentadbiran sudah angkat sumpah simpan rahsia dan semua Menteri, Timbalan Menteri, Pegawai Pengawal ada liabiliti perundangan yang mengawal tindak tanduk mereka.
“Penasihat anak-beranak, apa yang mengikat semua ini? Sungguh kelakar! Dulu laung reformasi sekarang hilang belaka,” katanya lagi. – Malaysiapost