‘Kenapa isu perkauman dilambak pada Melayu, Islam sahaja?’ – Sanusi

‘Kenapa isu perkauman dilambak pada Melayu, Islam sahaja?’ – Sanusi

KETUA Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoal tindakan individu yang mempergunakan isu perkauman dalam politik.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sepatutnya isu perkauman tidak hanya diletakkan kepada orang Melayu dan Islam sahaja.

“Pakar Perlembagaan pun ada yang buta sejarah. Kalau sejarah yang telah berlalu dan dicatat dalam lembar kertas dan disampaikan secara lisan pun dia buta, bagaimana dia hendak membaca realiti semasa.

“Pasai apa isu perkauman yang dituduhnya itu hanya dilambakkan salahnya kepada orang Melayu dan Islam sahaja?

“Apakah kerana dia tidak faham orang sebelah dia sedang bercakap tentang apa?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Muhamad Sanusi berkata demikian dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang meminta Kerajaan Perpaduan melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, terdapat kaum yang hanya memilih untuk mengundi satu parti sahaja.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan secara mendalam kaum yang dimaksudkan itu.

“Apakah dia belum sedar ada satu kaum yang hampir semuanya mengundi satu parti sahaja iaitu parti dia dan parti kawan-kawan dia. Kalau piring terbang, kalau mangkok…?,” katanya.

Terdahulu, kenyataan Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu mengundang pelbagai kritikan baik daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan itu kerana isu berkenaan bukan sebagai satu masalah ketika ini.

Susulan kontroversi itu, beberapa pihak termasuk parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan menggesa Ramasamy dipecat kerana kerap mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis. – Malaysiapost

Komen