Kenyataan Ramasamy bukti kepelbagaian bangsa diamal DAP hanya retorik

Kenyataan Ramasamy bukti kepelbagaian bangsa diamal DAP hanya retorik

WIRA Putra mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang didakwa biadap, kurang ajar dan sentiasa menunjukkan sifat perkauman.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata ia membuktikan perpaduan dan kepelbagaian bangsa yang kononnya diamal DAP hanya sandiwara politik dan retorik.

Katanya, selepas dikutuk dan diasak beliau akan mengalihkan kemarahan orang Melayu dengan menyatakan kenyataannya di salah ertikan oleh pengamal media.

“Sebelum ini Ramasamy berhempas pulas mempertahan kumpulan pengganas LTTE serta sentiasa membuat provokatif terhadap sejarah kepimpinan orang Melayu.

“Sehingga kini beliau masih angkuh dan enggan memohon maaf atas segala penghinaan terhadap orang Melayu.

“Tidak ada seorang pun dari kalangan pemimpin DAP berani menegur atau mengecam secara terbuka atau mengambil tindakan terhadap Ramasamy seperti beliau mempunyai permit kekebalan yang luar biasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini Ramasamy dilapor meminta Kerajaan Perpaduan melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Bagaimanapun beliau mendakwa kenyataannya telah disalah petik oleh media selepas dikecam pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Nasrul Ali berkata pemimpin Melayu akan mengecam pemimpin atau NGO Melayu jika membuat kenyataan bersifat rasis, tetapi tidak terhadap pemimpin DAP.

Katanya lagi, Anthony Loke selaku Setiausaha Agung DAP hanya sekadar menyatakan DAP ada cara sendiri untuk menyelsaikan isu Ramasamy.

“Tiada ketegasan dalam DAP menjamin kedamaian dan menolak sifat rasis dalam membangun negara.

“Bagaimana Perdana Menteri boleh membiarkan seorang yang rasis dalam pasukan kerajaannya bebas membuat provokasi terhadap bangsa majoriti dan sentiasa membuat kenyataan berbaur perkauman?

“Malah lebih teruk lagi mengapa tiada seorang pun pemimpin DAP, PKR, Amanah lebih-lebih lagi dari Umno mengutuk kenyataan biadapnya yang seakan mencabar umat Melayu mengenai jawatan penjawat awam ini,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen