Kes hasutan Abdul Hadi: Polis tunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya
TIMBALAN Pendakwa Raya belum memberi arahan selanjutnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tindakan susulan terhadap kes Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihak polis telah selesai melengkapkan kertas siasatan dan sudah ini dimajukan untuk perhatian pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Kertas siasatan sudah dikemukakan ke pejabat TPR tahun lalu dan kita masih menunggu arahan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 5 Disember lalu, Abdul Hadi tiba hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Ahli Parlimen Marang itu sebelum ini mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang PAS daripada berkuasa, selain turut menyifatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu ‘tidak bermoral’.
Abdul Hadi menggunakan analogi bola sepak untuk mengatakan walaupun satu pasukan itu menang, pengadil ‘tiba-tiba memberi masa tambahan’ bagi memberi peluang kepada pasukan kalah’ untuk menang dengan apa cara sekalipun’.
Komen beliau yang dipetik daripada kolum ditulis dalam portal berita PAS, Harakahdaily, ditafsirkan sebagai merujuk gesaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. -Malaysiapost