Kit Siang cadang reformasi Parlimen perkenalkan Hari Pembangkang

Kit Siang cadang reformasi Parlimen perkenalkan Hari Pembangkang

VETERAN DAP Lim Kit Siang mencadangkan reformasi Parlimen dengan memperkenalkan Hari Pembangkang.

Kit Siang yang sudah bersara daripada politik mencadangkan perkara itu bagi memberi peluang kepada pihak pembangkang dalam menentukan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya cadangkan reformasi Parlimen untuk memperkenalkan Hari Pembangkang, di mana pihak Pembangkang dapat menentukan aturan urusan mesyuarat untuk hari berkenaan.

“Dua Hari Pembangkang untuk sidang yang panjang dan sehari untuk sidang-sidang yang lebih pendek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, banyak perkara yang dinantikan menerusi sidang Parlimen Ke-15 yang berlangsung selama tujuh minggu bermula hari ini.

“Pertama, perlulah ada reformasi Parlimen untuk membolehkan Parlimen Malaysia memainkan peranan penuhnya dalam sistem kerajaan seperti yang dibayangkan dalam Perlembagaan Malaysia – dengan doktrin pemisahan kuasa di antara pihak Eksekutif, Parlimen, dan Kehakiman,” katanya.

Sementara itu, Kit Siang mendesak Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Ketua Pembangkang menjelaskan kepada Dewan Rakyat mengapa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menjadi Ketua Pembangkang.

“Memandangkan Ketua Pembangkang telah diberikan status bertaraf menteri, perlulah ada kenyataan menteri di Parlimen mengenai mengapa Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang tidak menjadi Ketua Pembangkang.

“Bagaimana mereka boleh bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya mereka tidak bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang,” katanya. – Malaysiapost

Komen