‘Orang ini layak digelar bangsat’ – Dr Akmal

‘Orang ini layak digelar bangsat’ – Dr Akmal

TIDAK perlu memberi sebarang kelonggaran atau kompromi jika melibatkan individu yang sengaja mencetuskan provokasi menyentuh soal agama dan bangsa, kata Dr Akmal Saleh.

Exco Pemuda Umno itu berkata, individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama adalah layak dipanggil ‘bangsat’.

Menurutnya, satu laporan polis akan dibuat pada jam 8 malam ini, berhubung kenyataan seorang bekas pemain badminton yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur rasis dan menyentuh agama Islam.

“Malam ni, jam 8 malam kita akan buat laporan polis terhadap bangsat ini agar tindakan undang-undang yang keras boleh diambil kepada puak pelampau ini.

“Kepada yang nak ‘join’, kita jumpa di Balai Polis Merlimau jam 8 malam, yang jauh boleh buat laporan polis di balai polis yang terdekat juga,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, tular video seorang lelaki dikatakan bekas pemain badminton negara yang membuat satu kenyataan berbentuk penghinaan ke atas agama Islam.

Bekas pemain terbabit mengatakan punca pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kurang baik adalah kerana diuruskan orang Melayu.

Ujarnya, orang Melayu tidak menguruskannya dengan sempurna lebih-lebih lagi kerap meninggalkan latihan ataupun pengurusan tiap kali waktu solat.

Sementara itu, Dr Akmal memberi amaran agar tiada lagi pihak yang berani menyentuh soal Islam dan Melayu.

Dalam pada itu, beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan keras terhadap bekas pemain itu.

“Mohon YAB Anwar Ibrahim dan YAB Zahid Hamidi untuk ambil tindakan yang keras dan tegas terhadap bangsat ini,” katanya, – Malaysiapost

Komen