Pasukan SMART temui lima lagi mayat di Nurdagi, Turkiye

Pasukan SMART temui lima lagi mayat di Nurdagi, Turkiye

PASUKAN Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dari Malaysia menemui tujuh lagi mayat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di Nurdagi, Turkiye.

Menerusi kemaskini terkini media sosial Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), mangsa ditemui dan dikeluarkan Charlie 01 dan Delta 01 dari pasukan penyelamat kedua Malaysia (MAS-10) pada jam 5.55 petang waktu tempatan.

Bagaimanapun, SMART terpaksa menangguhkan SAR berikutan cuaca yang melampau.

“Atas faktor keselamatan pasukan, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada jam 7.50 petang, berikutan cuaca yang juga semakin sejuk,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, anggota pasukan MAS-01 SMART berjaya menyelamatkan lima sekeluarga, selepas mangsa terperangkap dalam runtuhan bangunan kediaman mereka sejak enam hari lalu di Gaziantep, Turkiye.

Lima mangsa berkenaan adalah kumpulan mangsa yang pertama ditemukan selamat oleh pasukan SAR negara sejak ditempatkan kawasan itu.

Secara keseluruhan, setakat ini pasukan penyelamat negara sudah membawa keluar 25 mayat dan lima mangsa hidup.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lalu, telah meragut ribuan nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Gempa berukuran 7.8 skala Magnitud berdurasi 75 saat dilaporkan melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia), awal pagi Isnin lalu. – Malaysiapost

Komen