PRESMA sahut seruan kerajaan, lancar Menu Rahmah
DEMI menyahut seruan kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) melancarkan Menu Rahmah hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Menu Rahmah telah memberi motivasi kepada banyak restoran, gerai mahupun warung untuk turut serta.
“PRESMA bersedia untuk menawarkan Menu Rahmah ini di mana terdapat hari mereka sediakan menu ikan atau ayam.
“Ini juga contoh Menu Rahmah seimbang yang ditawarkan beberapa kedai makan,” katanya selepas merasmikan program pelancaran Menu Rahmah di Restoran Nasi Kandar Stadium di Kuala Lumpur, hari ini.
Antara menu disediakan di restoran berkenaan ialah nasi putih, sayur kobis termasuk dengan berlaukkan ayam goreng, ikan goreng, ayam kari, kari ikan, ayam kicap, ikan kicap atau ayam kurma.
Salahuddin berkata, dengan tawaran harga menu yang sangat berpatutan itu katanya, sedikit sebanyak dapat membantu golongan sasar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya sedang merencanakan sebuah program jualan murah yang tidak hanya terhad kepada kategori makanan sahaja sebelum menjelang Aidilfitri tahun ini.
“Saya juga sedang mengatur satu sesi libat urus dengan pemilik-pemilik atau industri pakaian dan makanan.
“KPDN mengharapkan menjelang puasa dan sambutan Aidilfitri ada lagi berita gembira untuk rakyat Malaysia nikmati dengan membeli barangan keperluan dengan harga ‘Rahmah’,” katanya.
Salahuddin turut berterima kasih kepada semua pengusaha restoran yang bersemangat menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan Menu Rahmah kepada rakyat.
Katanya, KPDN turut mengalu-alukan pengusaha restoran untuk mendaftar Menu Rahmah di pejabat KPDN negeri untuk membantu mempromosikan restoran tersebut. – Malaysiapost