Rakyat tidak gembira dengan kerajaan dan Anwar, dakwa pemimpin Bersatu

Rakyat tidak gembira dengan kerajaan dan Anwar, dakwa pemimpin Bersatu

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman berpadangan rakyat ketika ini tidak gembira dengan petadbiran kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Dr Muhammad Faiz berkata kehidupan rakyat di bawah kerajaan ketika ini didakwa semakin susah.

Justeru, katanya, keadaan rakyat itu perlu dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Nak sampaikan satu (perkara) sahaja kepada DYMM Tuanku Istana Negara, majoriti rakyat makin susah dan saya tidak fikir mereka gembira dengan kerajaan dan Perdana Menteri Ke-10,” katanya ringkas di Facebook.

Kenyataan Dr Faiz itu dipercayai mempunyai kaitan dengan titah Al-Sultan Abdullah yang menzahirkan harapan supaya pentadbiran Anwar adalah yang terakhir sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke Pahang, 30 Januari tahun depan.

Baginda bertitah ketika merasmikan pembukaan penggal Parlimen Ke-15, hari ini menyifatkan peristiwa dan pengalaman yang berlaku sepanjang baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong, sebagai bersejarah dan sukar untuk dilupakan.

Ia berikutan baginda menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara dengan empat Perdana Menteri serta empat jemaah menteri yang berlainan, susulan kemelut politik berpanjangan sejak tiga tahun lalu.

“Secara ikhlas, beta berharap Perdana Menteri ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta, sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur.

“Namun, ini semuanya adalah ketentuan Allah SWT. Manusia merancang, Allah menentukan segalanya,” titah baginda. – Malaysiapost

Komen