Sekat peruntukan MP pembangkang tindakan zalim, tidak Madani – Hadi

Sekat peruntukan MP pembangkang tindakan zalim, tidak Madani – Hadi

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, usaha menyekat peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang adalah tindakan zalim serta tidak mengikut acuan serta konsep negara Madani yang sebenar.

Beliau berkata, tindakan itu disifatkan tidak bertamadun, tidak bermoral agama dan tidak berkonsepkan demokrasi yang sebenar, malah menjadikan cara yang salah bagi mengekalkan kuasa.

Katanya lagi, mengambil alih kerajaan bukan sekadar merebut jawatan dengan keistimewaan semata-mata, sebaliknya menunaikan amanah Allah SWT bagi melakukan tashih (pembetulan) terhadap kerosakan yang berlaku.

“Ia bukan berebut jawatan dan mengekalkan kerosakan atau menambah keburukannya.

“Pada masa yang sama, bukan pula berlaku zalim terhadap mana-mana pihak yang tidak menyokong mereka dengan menyekat peruntukan yang diwajibkan kepada negeri-negeri dan Ahli-ahli Parlimen.

“Ini termasuk (juga) menyusahkan pegawai-pegawai kerajaan yang dikira tidak menyokong mereka (kerajaan),” katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pakatan Harapan (PH) yang memimpin kerajaan ketika ini didominasi Ahli Parlimen bukan Islam.

“Mereka tidak menjadikan Melayu Muslim yang berintegriti untuk mendominasi penduduk negara ini sebagai majoriti berkonsepkan asas yang disebutkan dalam hadis sebelum ini.

“Di samping dinamakan kerajaan campuran itu dengan Kerajaan Perpaduan walaupun penubuhannya menipu rakyat dan seluruh dunia.

“Meletakkan jenama ‘Kerajaan Perpaduan’ adalah menyalahi istilah ilmu politik iaitu kerajaan yang tiada pembangkang atau pembangkangnya terlalu kecil laksana nyamuk,” katanya.

Jelas Abdul Hadi lagi, kerajaan campuran hari ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan serta kalangan oportunis.

“Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme, dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya.

“Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri Madani yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan,” katanya.

Abdul Hadi berkata, golongan pengundi muda dan luar bandar menerima Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan tema ‘Bersih dan Stabil’.

“Kerajaan PN yang ditubuhkan selepas kejatuhan kerajaan PH telah menunjukkan bukti perubahan, walaupun dalam masa yang singkat.

“Justeru, kita mengharapkan generasi muda yang membuat perubahan melalui PRU15 baru-baru ini terus menjunjung konsep madani Ibn Khaldun dengan meneruskan perjuangan yang belum selesai bersama PN,” katanya. – Malaysiapost

Komen