Young Syefura gesa siasat punca banjir di Bukit Tinggi
KERAJAAN Pahang dan Kerajaan Pusat diminta untuk segera menyiasat punca kejadian banjir yang berlaku di kawasan Bukit Tinggi, Pahang, semalam.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, kejadian banjir kilat yang terbaharu berlaku di kawasan itu petang semalam adalah kali kedua terjadi dalam tempoh tidak sampai setahun.
Beliau berkata, siasatan perlu disegerakan bagi mengenal pasti sama ada berlaku penerokaan atau pembukaan tanah di bahagian atas bukit sehingga menyebabkan bencana itu berlaku.
“Perkara itu perlu diambil perhatian dan tindakan segera agar tidak terus berulang sehingga penduduk menjadi mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Young Syefura berkata, dalam kejadian banjir kilat yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang itu, beberapa aliran air baharu dikesan terbentuk akibat runtuhan batu dan laluan di jalan lama Bentong – Kuala Lumpur.
“Runtuhan pernah berlaku di kawasan itu akibat kejadian banjir pada Mei tahun lalu dan baharu selesai dibaik pulih, namun kejadian sama berulang lagi,” katanya.
“Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Thomas Su Keong Siong bersama pegawai Pejabat Ahli Parlimen Bentong akan turun kembali ke kawasan itu hari ini untuk mendapatkan maklumat mangsa terjejas bagi urusan bantuan,” katanya. – Malaysiapost