‘Adakah Anwar akan kekal PM hingga tamat penggal?’ – Kit Siang

‘Adakah Anwar akan kekal PM hingga tamat penggal?’ – Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang masih sangsi sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kekal bertahan sebagai Perdana Menteri Ke-10 sehingga tamat penggal lima tahun.

Kit Siang berkata, sekiranya hasrat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi kenyataan, maka Anwar akan terus menjadi Perdana Menteri sehingga tahun hadapan.

“Tetapi, adakah dia akan terus menjadi Perdana Menteri untuk sepenuh penggal lima tahun Parlimen ke-15?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Kit Siang, sejarah tercatat apabila baginda sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Agong dengan empat Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun pemerintahannya.

“Semasa Malaysia ada Perdana Menteri keempat dalam Parlimen kelima pada tahun 1981, negara kita mempunyai Yang di-Pertuan Agong yang ketujuh.

“Semasa kita ada Perdana Menteri yang kelima dalam Parlimen yang ke-10 pada tahun 2003, kita mempunyai Yang di-Pertuan Agong yang ke-12.

“Semasa kita ada Perdana Menteri yang ketujuh dalam Parlimen ke-14 pada tahun 2018, kita mempunyai Yang di Pertuan Agong yang ke-15,” katanya.

Kit Siang berkata, Yang di-Pertuan Agong bertitah semalam, baginda memberikan seluas-luasnya ruang kepada Ahli Parlimen bermuafakat dan mencari kesepakatan atas prinsip perpaduan demi masa hadapan negara.

“Lebih penting lagi, baginda bertitah yang negara kita dapat mengelakkan kemelut politik sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ahli politik negara bersedia untuk mengenepikan perbezaan dan bersatu padu,” katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan memberikan respon positif kepada seruan Yang di-Pertuan Agong semalam.

“Adakah Hamzah akan menawarkan kerjasama Perikatan Nasional (PN) kepada Kerajaan Anwar untuk memastikan Malaysia dapat mencapai dua objektif.

“Iaitu untuk menyatukan masyarakat yang terpolarisasi dan mengembalikan negara kepada prinsip asal tokoh kemerdekaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia

“.. yang dipandu oleh prinsip-prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, anti rasuah, dan sistem ekonomi, pendidikan, dan sosial yang bertaraf global,” katanya. – Malaysiapost

Komen