Anwar pertama kali menjawab dalam sesi PMQ

Anwar pertama kali menjawab dalam sesi PMQ

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab soalan Ahli-Ahli Parlimen dalam sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata sesi berkenaan akan diadakan pada setiap hari Selasa pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, kali ini.

“Insya-Allah pagi ini buat kali pertama saya akan menjawab soalan Ahli-Ahli Parlimen dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pagi ini.

Antara soalan yang dijangka akan dijawab oleh Perdana Menteri adalah pertanyaan daripada Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh yang meminta menyatakan kedudukan hutang negara terkini dan apakah punca kenaikan hutang negara setiap tahun.

Kah Woh turut meminta untuk menyatakan usaha-usaha kerajaan dalam menyelesaikan hutang negara yang semakin meningkat.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, pula meminta Perdana Menteri menyatakan apakah bentuk bantuan diberikan Kerajaan Malaysia kepada Turkiye dan barat laut Syria susulan bencana gempa bumi yang melanda negara berkenaan.

Perdana Menteri juga diminta menyatakan keseluruhan kos atur gerak anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sepanjang tugasan mereka di kawasan bencana.

Satu lagi soalan yang dijadualkan untuk dijawab adalah daripada Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui, yang meminta menyatakan strategi penambahbaikan dan fokus utama kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan penyiasatan kes rasuah mendatangkan impak besar. – Malaysiapost

Komen