Baju raya Rahmah dilancar minggu depan
SELEPAS Menu Rahmah mendapat sambutan menggalakkan, kerajaan bercadang memperluaskan konsep Rahmah untuk kelengkapan raya pula.
Dikenali sebagai Konsep Raya Rahmah adalah satu lagi inisiatif berterusan kerajaan meringankan beban rakyat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, konsep Raya Rahmah bakal memberi peluang untuk golongan kurang berkemampuan menyediakan kelengkapan perayaan seperti perhiasan rumah, baju raya dan barangan lain yang diperlukan.
Jelasnya, nama-nama syarikat yang akan terlibat dalam usaha ini dijangka diumumkan minggu hadapan.
“Kita masih dalam peringkat rundingan kerana pihak terlibat juga turut meminta tempoh untuk perbincangan dan dalam minggu hadapan, mereka akan dipanggil semula untuk nyatakan secara spesifik bentuk tawaran bagi konsep Raya Rahmah ini,” katanya kepada media dipetik Utusan Online selepas Pelancaran Jelajah Menu Rahmah Perlis di Restoran Bekwoh, Kangar, hari ini.
Ditanya mengenai perkembangan inisiatif Menu Rahmah, Salahuddin berkata, kerajaan kini dalam perancangan membangunkan sebuah aplikasi dalam memudahkan pengguna mendapat akses maklumat berhubung lokasi restoran atau kedai makan yang menawarkan perkhidmatan itu.
“Terdapat juga beberapa restoran makanan segera yang berminat untuk bersama dalam inisiatif ini dan buat masa ini mereka sedang dalam perbincangan lanjut bagi pelaksanaan itu,” katanya.
Salahuddin turut mendedahkan, beberapa sektor lain antaranya seperti tekstil dan kesihatan juga telah menyatakan minat untuk turut sama menawarkan konsep Rahmah selepas ini. -Malaysiapost