Bekas pembaca berita TV3 tawar tanding Exco Wanita Umno
BEKAS pembaca berita TV3, Nik Suryani Megat Deraman mengumumkan untuk bertanding jawatan Exco Wanita Umno pada pemilihan parti itu.
Nik Suryani yang juga ahli Umno Cawangan Kubang Kepong, Marang telah menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat Umno di Menara Dato’ Onn, hari ini.
“Dengan berkat dan restu dari ayahanda, suami dan Ketua Bahagian, saya Nik Suryani Megat Deraman, ahli Umno sejak tahun 2012, dengan rendah diri menawarkan diri bertanding Exco Pergerakan Wanita Umno dalam pemilihan parti kali ini.
“Borang pencalonan telah saya serahkan pada jam 4.30 petang, Isnin, di Auditorium Menara Dato’ Onn,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Isteri kepada Saiful Bukhari Azlan itu berhasrat mencurah pengalamannya selaku pengamal media dan industri kreatif sekiranya dipilih menjadi Exco Wanita Umno kelak.
“Hasrat saya menawarkan diri ini adalah untuk meneruskan kesinambungan perjuangan, pengorbanan dan khidmat bakti Wanita Umno pada negara sejak sebelum Merdeka, selain berkongsi pengalaman selaku pengamal media dan industri kreatif yang telah berkecimpung hampir 20 tahun.
“Mudah-mudahan dengan sumbangan kecil saya ini, dan juga seluruh ahli Umno, parti keramat ini akan terus mara, relevan, sebagai wadah membela Agama, Bangsa dan Tanah Air tercinta,” katanya. – Malaysiapost